Saturday, September 21, 2024

Jika Aku Si Tua!

Bila duduk termenung sendiri, otak aku selalu ligat berpikir tentang bermacam-macam. Tentang dunia, tentang kau, tentang manusia yang sama-sama menjalani fungsi masing-masing di dunia ini.

Dalam sunyinya dunia di kepala dan riuhnya dunia nyata yang silih berganti aku alami, aku terpikir tentang hari tua. Hari tua dimana, si tua akan mengganggap dia benar, benar dalam banyak hal kerana sudah merasainya dahulu. Si tua yang merasa perlu dihormati tanpa perlu ada sebab hanya kerana sudah tua. Si tua yang akan merasakan setiap kata-kata mereka adalah jalan penyelesaian kepada masalah-masalah yang kau hadapi.

Bila aku letak diri aku dalam sepatu mereka, si tua, aku merasa bahawa jika itulah keadaannya, aku adalah si tua yang sombong. Sombong kerana merasa tingkahku adalah petunjuk jalan hidup anak muda. Walhal, banyak sahaja ilmu baru yang generasi baru ini pelajari dari sudut pandang yang berbeza dengan apa yang aku, si tua, ini rasakan. Hanya kerana aku berbangga dengan ilmu yang aku miliki dahulu, aku tidak menerima ilmu baharu yang anak muda ini sedang alami. Aku jadi si tua yang sombong dengan ilmu yang outdated.

Dari situ, aku terfikir, dari sekaranglah aku, yang belum terlalu tua ini, perlu jadi insan yang tidak sombong dengan ilmu baharu, sentiasa berusaha jadi manusia yang pandai, manusia yang berbuat baik kepada manusia lain yang menjalani fungsi masing-masing di dunia ini. 

Maka, pada usia tuamu, kau bersedia dengan banyak ilmu yang boleh kau hujahkan kepada anak muda pada waktu itu. Terbuka dalam berbincang, berhujah dengan pembuktian, teliti dalam pertimbangan.

Biar bising di kepala, tapi diam (dengan bijak) bersama semua manusia lain.
Share: