"Kalau aku"
Ungkapan yang aku percaya kita kerap dengar daripada rakan rapat, keluarga dan siapa sahaja yang dekat dengan kita. Mereka ini cenderung bercerita dalam ruang lingkup yang sempit dan pengalaman mereka untuk di-highlight-kan sebagai contoh terbaik mahupun terburuk.
"Kalau aku"
Mereka kerap merasakan apa yang mereka rasai adalah pengalaman paling layak untuk dicontohi - macam tahi - dalam apa jua keadaan. Kisah yang kau dendangkan akan ditolak tepi kerana kisah kau tiada makna di mata mereka. Mereka suka percaya apa yang mereka percaya adalah kebenarannya. Sebab kisahnya pernah di-iya-kan oleh kawan-kawan yang tidak gemar untuk berselisih pendapat pada perkara yang tidak mendatangkan manfaat. Akhirnya, dia percaya dia miliki kebolehan yang konon berdasarkan pengalamannya, manusia lain di bumi ini boleh selamat.
"Kalau aku"
Berebut-rebut menyampaikan ceritanya yang jika dimarkahi, hanya mendapat gred E. Namun begitulah bahayanya self belief jika percaya kepada benda yang salah. Macam sia-sia yang diletakkan para pempercaya bumi leper. Kepercayaan yang tidak konkrit, kepercayaannya mudah dibeli oleh beberapa orang yang punyai fikiran yang sama. Tanpa dia ketahui, apa yang mereka percaya benar-benar benar atau menyimpang jauh.
Tapi kalau aku, aku mahu jadi orang yang selalu belajar benda baru. Matlamatnya bukan mahu pandai di depan manusia, tapi mahu jadi manusia bermanfaat kepada manusia lain.