Tiada lagi rasa segan. Semua ingin menonjol ke muka depan. Kini tiada lagi merasa risau tentang kekolotan kian terdedah. Lebih penting adalah mendapat perhatian. Dalam konteks kini, perhatian berupa like, share dan views. Kebodohan kini bukanlah lagi sifat yang memalukan. Malah orang menjadikan kebodohan sebagai sumber hiburan untuk bergelak ketawa. Alasannya ialah untuk mengurangkan tekanan bekerja seharian. Maka perlu ada hiburan berketawa yang dikelaskan sebagai alat membantu kesihatan mental. Padahal bersatu dengan alam, bergabung dengan buku, bergaul dengan manusia dan menyembah yang Esa adalah ubat sebenar penyembuh kedukaan.
Kini tiada lagi..
Tiada lagi keinginan menggunakan otak. Ramai yang tidak menimbang fakta dan bukti. Terus terjun menuju titik kesimpulan kerana dia mendengarkan dari seseorang yang terkenal dalam media sosial. Tidak kiranya dia seorang yang ahli dalam bidangnya. Itu bukan lagi ukuran mencari kebenaran. Asalkan dia punyai populariti, kau seperti dipaksa mempercayai apa yang diucapkan mereka. Jadilah pengikut yang membabi buta, seperti lembu yang dicucuk hidung, seperti tikus yang memakan racun.
Kini tiada lagi..
Tiada lagi yang percaya tentang keajaiban otak. Jika ada persoalan di kepala, tanpa usaha dan memerah otak. Terus minta si AI buatkan kerja. Trend yang menjadikan kita semua hamba teknologi. Kita menyangka teknologi menuruti kemahuan kita. Sebenarnya kau yang menjadi hambanya. Ironinya, kau sentiasa menunduk-nunduk menatap telefon pintarmu. Sama seperti hamba yang menunduk-nunduk kepada tuannya. Setiap jam yang kita semakin tiada kualiti. Kita disuruh percaya untuk menyangkakan kononnya kita berinternet untuk menambah ilmu. Hakikatnya lebih banyak membiarkan jam berdetik lalu tanpa dapat menangkap ilmu yang melekat di kepala. Bagaimana ilmu hendak disimpan jika maklumat yang kita tonton (kononnya semakin pandai dengan menontonnya) hanya sekejap-sekejap silih berganti. Sekejap ceramah, sekejap jenaka, skrol lagi berita sedih, kemudian kisah di negara jauh dari duniamu, sekejap lagi berita hal rumahtangga. Maklumat yang otak kau terima secara lambakan. Akhirnya, kau tidur dengan ilmu yang celaru. Esok bangun, dengan otak yang masih tidak settle down. Begitulah berualng dari hari ke hari. Adakah kamu fikir keadaan itu akan menjadikan kamu semakin pandai? Atau semakin kusut terbeban dengan ilmu yang tidak perlu dan kurang bermanfaat.
Tiada lagi.
0 comments:
Post a Comment